Tarikh : 5 Februari 2017
Masa : 7.30 a.m
Program "JOM KESEKOLAH" Kolaborasi antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM)
TEKS UCAPAN PERASMIAN
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN PROGRAM JOM KE SEKOLAH
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2017
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Tuan-tuan dan
puan-puan yang dihormati sekalian.
1.
Pertamanya,
marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin
dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun dalam Majlis Pelancaran Program Jom ke
Sekolah Tahun 2017 pada hari ini.
2.
Saya juga
ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua
sekolah kerana berjaya mengadakan majlis pelancaran ini. Bagi makluman hadirin sekalian,
semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan
program ini secara serentak pada 5 hb
dan 6 hb Februari Tahun 2017.
3.
Sistem Pendidikan
Negara telah mengalami evolusi penting seiring dengan Gelombang 2 Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dengan tekad dan azam untuk terus
berusaha melonjakkan kualiti pendidikan negara seperti yang dihasratkan. Sesungguhnya transformasi pendidikan
merupakan proses yang memerlukan komitmen yang tinggi secara berterusan daripada
semua pihak.
4.
Tuan-tuan dan
puan-puan sekalian, kita sedia maklum bahawa sekolah sebagai agen sosialisasi utama
bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin hingga ke peringkat akar umbi
supaya dapat memenuhi evolusi yang dilaksanakan. Iklim dan persekitaran sekolah
yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang perkembangan murid dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek
sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Justeru, Program Jom ke Sekolah adalah
sebahagian daripada usaha ke arah meningkatkan kecemerlangan kurikulum dan kokurikulum
sekolah serta pembinaan sahsiah murid yang mantap.
5. Pengurusan disiplin di sekolah memerlukan
komitmen daripada semua pihak agar kemenjadian murid akan lebih cemerlang. Dengan
pelaksanaan program ini, diharapkan warga sekolah dapat memberikan saluran yang
sesuai untuk menerima aduan dan menyelesaikan masalah yang berkaitan disiplin
murid. Oleh hal yang demikian, besarlah harapan
saya agar pihak sekolah dapat menerima cadangan-cadangan yang membina untuk
mengatasi permasalahan yang timbul dalam proses pengurusan disiplin murid di sekolah.
6.
Tuan-tuan dan puan-puan
sekalian, objektif Program Jom ke Sekolah ini adalah untuk mewujudkan hubungan
mesra dan kolaborasi yang lebih mantap antara pihak sekolah dengan Pegawai
Perhubungan Sekolah (PPS). Selain itu,
program ini juga bertujuan untuk membantu mencegah salah laku disiplin murid
daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi
undang-undang serta tidak bermoral sama ada di dalam atau di luar sekolah. Seterusnya, program ini dilaksanakan untuk
membugarkan kembali penggunaan Peti Aduan Disiplin Murid di sekolah.
7.
Tuan-tuan
dan puan-puan, pihak sekolah perlu sentiasa prihatin terhadap murid-murid. Pihak
pentadbir sekolah seharusnya memastikan pengurusan disiplin sentiasa ditambah baik
untuk meningkatkan proses perkhidmatannya.
Dalam hal ini kerjasama pihak polis dan sekolah sememangnya tidak dapat dipisahkan. Kedua-dua pihak perlu berganding bahu bagi menangani
masalah disiplin murid.
8.
Saya
ingin merakamkan penghargaan dan ucapan
terima kasih kepada PDRM terutamanya Pegawai
Perhubungan Sekolah (PPS) dan seluruh
warga pendidik atas daya usaha untuk menjayakan Program Jom ke Sekolah. Program Jom ke Sekolah merupakan Strategi
Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) KPM bersama-sama PDRM melalui Jabatan Pencegahan
Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).
9.
Sukalah saya
mengingatkan anak-anak agar dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran.
Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan
sebaik mungkin supaya anda menjadi insan yang berjaya. Jadikanlah sekolah sebagai
tempat menimba ilmu, membina pengalaman, membentuk bakat, dan mengasah budaya kepimpinan
kerana andalah merupakan aset negara yang bernilai pada masa hadapan. Dalam menghadapi
persaingan global yang semakin sengit pada hari ini, banyak ilmu dan kemahiran baharu
yang perlu dikuasai sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan. Jauhilah perkara yang tidak berfaedah dan jangan
terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat dan tidak bermoral seperti ponteng,
buli, dadah serta lain-lain gejala negatif yang boleh merosakkan diri dan masa
depan anak-anak sekalian. Sayangi diri, hormati ibu bapa dan guru- guru anda.
Gunakanlah masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya kerana masa muda hanya sekali.
Oleh itu, berusahalah menjadi yang
terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya.
Only the best among you will survive and
thrive.
10. Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim saya
dengan ini merasmikan Program Jom Ke sekolah Peringkat Kebangsaan 2017.
Sekian.
Wabillahitaufik
walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
YB. Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid
Menteri Pendidikan Malaysia